Wednesday, September 23, 2009

TRANSLATE THIS LANGUAGE

TENTUKAN HALA TUJU DIRI


Cuba anda perhatikan insan-insan yang telah berjaya di sekeliling anda. Di antara mereka yang telah mengharumkan nama negara ialah saudari Nur Amelina, Datin Paduka Sharifah Mazlina, Datuk Sheikh Muszhapar, Datuk Nicole David, Mohd Muqharabbin dan ramai lagi. Tanya mereka, bagaimana mereka berjaya. Pencapaian tersebut bukan semudah yang disangka. Tanpa kesungguhan dan kerja keras, mereka tidak akan berada pada tahap seperti itu. Lihat dan kaji diri anda sendiri. Apakah kelebihan dan potensi yang ada pada diri anda. Bakat dan potensi yang ada perlu dikembangkan. Diri anda merupakan aset berharga yang akan meneraju kepimpinan negara masa hadapan. Kemahiran yang ada pada diri anda boleh digunakan dalam aktiviti pembelajaran untuk mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Kemahiran yang ada pada setiap pelajar perlu digilap dan dibangunkan untuk kebaikan mereka. Pada masa ini terdapat banyak peluang yang telah tersedia untuk meningkatkan kemahiran pelajar. Semuanya terletak pada diri pelajar itu sendiri sama ada ingin merebut peluang yang ada atau melepaskannya begitu sahaja. Bak kata pepatah Melayu, “Yang pipih tak akan datang melayang, yang bulat tak akan datang bergolek.” Pelajar perlu berusaha untuk mencari, mempelajari dan menguasai kemahiran melalui proses pembelajaran, latihan dan pengalaman.

Pada asasnya bidang kemahiran meliputi banyak bidang. Pada masa ini, kebanyakan kemahiran yang ada ialah berbentuk luaran dan dapat dilihat. Contohnya, kemahiran dalam bidang kejuruteraan, elektronik, pembaikan kenderaan dan sebagainya.

Kemahiran bentuk dalaman pula adalah perkara-perkara yang tidak dapat dilihat daripada segi fizikal seperti kemahiran intelektual yang melibatkan berfikir secara kreatif dan kritis, kaunseling, pengawalan emosi dan sebagainya. Kebanyakan kemahiran yang dimiliki oleh pelajar adalah berbentuk konvensional. Pelajar perlu menjelajah lebih jauh dalam bidang kemahiran kontemporari yang berteknologi tinggi seperti aeroangkasa dan bioteknologi.

Penekanan dalam bidang kemahiran ini juga telah dijelaskan oleh Menteri Sumber Manusia, Y.B Datuk Fong Chan Onn. Ucapan beliau pada Hari Pekerja 2005 yang lepas menyatakan para graduan perlu meningkatkan kemahiran dan pengalaman kerja bagi mewujudkan kecemerlangan diri dan juga negara. Beliau mendapati hampir 70,000 siswazah telah dikeluarkan pada setiap tahun.

Mereka ini sama ada daripada lulusan tempatan ataupun luar negara. Beliau mendapati salah satu bidang yang mendapat perhatian pihak majikan ialah bidang yang bersifat kemahiran. Bidang-bidang tersebut meliputi bidang-bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi dan sebagainya. Oleh itu para graduan dinasihatkan menceburi bidang kemahiran yang ada bagi menambat hati majikan untuk mengambil mereka bekerja. Jika peluang ini tidak direbut oleh siswazah, ianya akan menjadi satu pembaziran sumber manusia yang mampu membangunkan sesebuah negara.

Beliau juga menegaskan terdapat satu badan iaitu Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) telah ditubuhkan bagi mengawal standard kemahiran pekerja. MLVK yang ditubuhkan pada Mei 1989 adalah sebuah badan penyelaras sistem latihan kemahiran melalui penyusunan semula Lembaga Latihan Perindustrian Dan Persijilan Ketukangan Kebangsaan (LLPPKK). Ia juga bertanggungjawab dalam membangunkan standard kemahiran kebangsaan (NOSS). Individu dan para graduan yang ingin melibatkan diri dalam industri ini perlu mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan oleh MLVK sebelum memulakan sesuatu perniagaan atau pekerjaan yang berkaitan.

Bagi mengatasi kekurangan kemahiran dan pengalaman kerja graduan, kerajaan juga telah memperkenalkan semula skim graduan menganggur. Skim ini akan menempatkan graduan di sebuah agensi atau syarikat untuk menimba pengalaman dan kemahiran dalam bidang yang terlibat. Dilaporkan hampir 75 % graduan telah mendapat kerja selepas mengikuti program ini. Ini secara tidak langsung dapat memberi pengalaman dan meningkatkan kemahiran graduan dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran negara.

Ucaptama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sambutan Hari Belia 2005 menjelaskan program pembangunan belia harus berpaksikan kepada konsep 3K iaitu kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan. Belia yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi akan menjadi seorang individu yang patriotik, bersemangat kemasyarakatan dan sukarelawan yang unggul. Kemahiran yang dimiliki perlu digunakan untuk mencipta peluang pekerjaan bagi diri sendiri dan orang lain. Konsep kerja makan gaji perlu dihakis dan belia perlu mempunyai daya keusahawanan yang tinggi untuk berjaya.

Dewasa ini, salah satu kemahiran yang telah diberi perhatian oleh pihak kerajaan adalah kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi ataupun ICT. Kemahiran ICT telah diberi penekanan dalam sistem pendidikan Malaysia. Guru-guru dan pelajar telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran dan ilmu ICT untuk meningkatkan lagi kecemerlangan sistem pendidikan negara.
Ucaptama Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Hari Pekerja 2005 mengatakan setiap pekerja hendaklah memiliki kemahiran, kebolehan, kecenderungan untuk berdaya saing dan mempunyai keperibadiaan luhur serta bersedia menghadapi persekitaran kerja dunia tanpa sempadan yang semakin mencabar dan berdaya saing.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Kementerian Pelajaran telah mewujudkan satu konsep sekolah bercirikan teknologi maklumat dan komunikasi. Konsep sekolah Bestari telah dibincangkan sejak tahun 1996 lagi dan pada tahun 1998 Kementerian Pelajaran telah memilih empat subjek untuk dibestarikan iaitu subjek Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Melayu.

Sebanyak 88 buah sekolah telah dipilih untuk menerajui sekolah Bestari dan 8 orang guru daripada sekolah tersebut telah dipilih sebagai perintis projek. Segala kemahiran yang dipelajari akan diaplikasikan di sekolah bagi meningkatkan keberkesanan sistem yang telah diwujudkan. Konsep Sekolah Bestari meletakkan ICT sebagai enabler atau alat pemboleh dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kajian yang telah dibuat oleh Universiti Malaya (2004) di sebuah sekolah menengah mendapati 70% pelajar amat meminati kelas yang dikendalikan dengan kemudahan komputer. Sesi pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan aplikasi komputer telah berjaya menarik minat pelajar untuk meneruskan pelajaran. Mereka didapati sanggup mengikuti kelas lebih lama sekiranya kelas dikendalikan dengan komputer sepenuhnya. Ini secara tidak langsung telah meningkatkan penguasaan dan kemahiran pelajar dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT.

Penekanan dalam bidang kemahiran juga telah dibuktikan oleh kerajaan dengan tertubuhnya Sekolah Menengah Teknik di seluruh negara. Sekolah Teknik atau disebut sebagai Sekolah Vokasional pada masa dahulu yang dianggap sebagai sekolah pelajar lemah telah bertukar kepada sekolah pelajar cemerlang.

Ini jelas terbukti apabila permohonan yang diterima pada setiap tahun menunjukkan pelajar cemerlang PMR telah memohon untuk memasuki Sekolah Menengah Teknik. Anggapan masyarakat yang menyatakan Sekolah Teknik sebagai sekolah pelajar lemah, malas dan bermasalah perlu diubah kepada sekolah pelajar cemerlang, rajin dan terlatih. Oleh itu, Sekolah Menengah Teknik perlu menyahut cabaran ini dengan memperkenalkan aliran lebih kompetitif dan berdaya saing serta mempunyai tenaga pengajar berpengalaman dan berkemahiran untuk memastikan hasrat ini tercapai.

Antara tindakan yang boleh diambil ialah dengan menggunakan teknologi dan bahan baru serta penyertaan firma-firma penting untuk meningkatkan kualiti pendidikan jenis ini. Program aprentis masa cuti dengan firma-firma dan kontraktor-kontraktor terkenal juga dikenalpasti dapat meningkatkan pendidikan sekolah teknik.

Di samping itu, sistem pendidikan Malaysia juga telah menekankan konsep pembelajaran kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Pembelajaran secara ini didapati dapat meningkatkan kemahiran intelektual pelajar.

Pemikiran kritis melibatkan penggunaan operasi berfikir yang asas untuk menganalisis, mentafsir dan menilai sesuatu hujah dengan mendalam. Manakala kemahiran berfikir secara kreatif pula adalah penggunaan operasi berfikir yang asas untuk mengembangkan atau mencipta idea atau hasil yang baru, estetik, dan membina. Pemikiran cara ini memerlukan keberanian untuk menjana idea yang banyak, pelbagai dan baru tanpa dikongkong oleh idea yang lama. Hasil pemikiran kreatif yang unggul juga akan melahirkan sesuatu yang asli setelah melalui proses sintesis idea yang sedia ada. Kaedah pembelajaran secara ini telah terbukti keberkesanannya di mana setiap tahun pencapaian pelajar dalam peperiksaan utama telah meningkat dan membanggakan. Kemahiran pembelajaran ini juga mampu melahirkan pelajar yang lebih kreatif dan berinovasi tinggi.

Kemahiran dalam bidang bioteknologi juga telah mewujudkan kecemerlangan negara. Bidang ini telah diberi tumpuan oleh kerajaan kerana boleh menjana pendapatan lumayan kepada negara. Usahawan-usahawan bioteknologi diharap dapat dilahirkan lebih banyak lagi pada masa ini. Pakar-pakar bidang inilah yang akan merancakkan persada perniagaan negara yang mana akan menghasilkan pelbagai produk baru yang mampu menembusi pasaran dunia. Laupa Junus (2005) dalam tulisannya bertajuk Bio-Komp, Baja Organik Tahi Kambing menyatakan baja organik tersebut mampu bersaing dengan jenama sedia ada kerana ia menawarkan nutrien berasaskan sumber semula jadi yang diperlukan oleh tanaman.

Teknologi ini mampu menambah bakteria pengurai yang diherbanasikan (dinyah aktifkan) dalam ramuan. Dengan kehadiran bakteria tersebut, keberkesanan baja lebih tinggi kerana ia berfungsi sebagai pengurai kandungan baja itu semasa di dalam tanah untuk menghasilkan NPK. Di samping itu, suhu tanah akan menjadi lebih rendah dan tidak merosakkan pokok. Tanaman berasaskan organik telah mendapat tempat di hati pengguna kerana pengguna didapati lebih tertarik dengan tanaman yang berasaskan semulajadi. Tanaman yang menggunakan unsur kimia kurang diminati kerana boleh memberi kesan sampingan kepada kesihatan pengguna. Peluang inilah yang perlu direbut oleh tenaga belia yang mahir untuk mencipta dan seterusnya memasarkan produk-produk yang berasaskan organik di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Di samping itu, kemahiran dalam bidang bioteknologi juga telah menghasilkan banyak produk berasaskan herba. Sebagai contoh kajian yang telah dibuat ke atas tanaman cendawan merah, tongkat ali, kacip fatimah, tanaman pegaga dan sebagainya. Tanaman-tanaman herba itu telah dikomersialkan dan mendapat permintaan yang menggalakkan daripada pengguna tempatan dan juga luar negara. Malaysia yang beriklim Khatulistiwa didapati amat kaya dengan khazanah alam terutama tumbuhan-tumbuhan malar hijau. Bukan itu sahaja malahan hasil lautan juga didapati boleh dieksploitasi bagi menghasilkan pelbagai produk yang berharga.

Rumpai laut dan gamat sudah terbukti keberkesanannya di mana ia didapati boleh mengubati dan merawat bermacam-macam penyakit manusia. Rumpai laut telah dijadikan sebagai makanan kesihatan yang popular pada masa ini. Gamat pula telah dikomersialkan sebagai makanan dan minuman yang boleh merawat serta menyembuhkan pelbagai penyakit moden seperti barah, diabetes dan sebagainya. Hasil-hasil bumi Malaysia sememangnya mempunyai banyak kelebihan dan ianya perlu kajian lanjut daripada pakar-pakar bioteknolgi untuk dikomersialkan.

Kemahiran dalam bidang pertanian juga perlu diberi perhatian oleh belia Malaysia. Bidang pertanian juga mampu melahirkan sebuah negara yang cemerlang. Kecemerlangan bukan setakat menambahbaik sistem pertanian sahaja tetapi juga mencakupi kemahiran sumber manusia yang terlibat dalam bidang pertanian.

Yusri Sahat (2005) menyatakan eksperimen yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bukit Temiang Perlis sejak 17 tahun lalu membuktikan Malaysia berupaya menjadi pengeluar buah anggur. Kajian yang dibuat oleh pakar tersebut mendapati kawasan tersebut amat sesuai ditanam dengan anggur kerana keadaan tanah dan iklim yang berbeza dengan negeri lain iaitu panas dan hujan yang nyata membolehkan tanaman anggur hidup dengan subur.

Kejayaan dalam penanaman tersebut telah membuatkan penyelidik meluaskan kawasan tanaman daripada 0.3 hektar kepada 10 hektar di ladang Bukit Bintang II, Bintong dengan sasaran pungutan hasil sebanyak 10.8 tan semusim dalam tempoh empat tahun lagi. Terdapat empat jenis buah anggur yang didapati sesuai ditanam di situ iaitu jenis Isabelle, Cardinal, Malaga Putih dan IAC. Penanaman anggur ini boleh diperluaskan lagi di negeri-negeri lain kerana permintaan buah anggur di Malaysia didapati semakin meningkat. Usaha ini boleh dicapai jika sumber tenaga yang mahir serta berkebolehan digunakan sepenuhnya. Penanaman buah anggur juga boleh meningkatkan hasil pendapatan negara kerana kajian yang dijalankan mendapati sebanyak 5 kilogram hasil boleh dikutip setiap kali tuaian dengan kadar harga antara RM 3 hingga 5 sekilogram.

Kecemerlangan sebuah negara juga boleh diukur berdasarkan kemahiran yang ada dalam bidang kejuruteraan. Bidang kejuruteraan merangkumi kejuruteraan elektrik, robotik, automatif, kuasa dan sebagainya. Proton sebuah syarikat automatif Malaysia didapati telah menunjukkan kecemerlangan dalam pembangunan kejuruteraan automatif tempatan. Permintaan kereta tempatan didapati telah meningkat dan digunakan hampir semua rakyat Malaysia. Ini boleh dilihat sendiri di sekeliling kita. Kebanyakan kereta yang menjalar di jalan raya pada masa kini adalah kereta buatan Malaysia.

Dengan pengenalan model-model baru dengan spesifikasi yang menarik telah berjaya menarik hati hampir semua pengguna Malaysia. Kejayaan ini bukan setakat di Malaysia sahaja tetapi telah melepasi pasaran luar negara seperti di United Kingdom dan Australia. Aktiviti pemotoran negara telah dirancakkan lagi dengan pembinaan litar Sepang Formula One. Acara perlumbaan kereta telah menjadi acara tahunan negara di mana semua peminat kereta telah tertumpu di litar Sepang untuk menyaksikan perlawanan kereta lumba. Kejayaan Malaysia dalam menganjurkan perlumbaan kereta bertaraf antarabangsa telah meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani oleh pihak luar. Jaguh-jaguh lumba kereta yang mahir, berpengalaman dan unggul juga diharapkan dapat dikeluarkan oleh Malaysia dalam sedikit masa lagi.

Bagi meningkatkan kecemerlangan dan kemahiran dalam bidang kejuruteraan tinggi ini beberapa usaha telah dibuat oleh Proton dalam usaha meluaskan dan seterusnya meningkatkan pasaran kereta tempatan. Usahasama antara Syarikat Sauber Engineering (AG) dengan Petronas didapati merupakan usaha yang baik untuk meningkatkan keupayaan pembuatan enjin berkuasa tinggi di Malaysia. Dua syarikat ini telah berjaya menghasilkan satu prototype enjin empat selinder yang berkeupayaan dua liter. Gandingan antara kepakaran enjin Sauber dengan keupayaan kejuruteraan automatif Syarikat Lotus International Limited juga akan merancakkan lagi persada industri kereta Malaysia.

Usahasama dengan Syarikat Lotus akan dimanfaatkan untuk pembangunan kereta-kereta Proton yang lebih bermutu tinggi dengan kos yang lebih rendah. Dalam masa terdekat ini akan wujud lebih banyak model-model baru yang boleh bersaing dengan model-model luar negara. Permintaan terhadap kereta tempatan didapati telah meningkat kerana disokong oleh sistem pengangkutan yang baik. Hampir semua negeri telah dilengkapi dengan sistem jalan raya dan lebuh raya yang moden. Ini memudahkan pengguna jalan raya untuk sampai ke sesuatu tempat dengan selamat dan cepat. Ini ditambah dengan sistem penerbangan moden yang boleh menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Malaysia. Sistem pengangkutan moden seperti menorel dan komuter di pusat bandar dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas terutama di waktu puncak.

Kemahiran dalam bidang aeroangkasa juga didapati dapat meningkatkan kecemerlangan negara. Kemahiran bidang ini telah mendapat perhatian kerana telah dibuat publisiti meluas oleh pihak kerajaan. Kerajaan mengharapkan Malaysia akan menjadi sebuah pusat aeroangkasa yang terunggul di Asia Tenggara. Pembangunan industri ini semakin berkembang kerana bidang ini telah mula diperkenalkan di universiti-universiti tempatan seperti di UTM dan UPM. Bakal-bakal graduan bidang ini diharapkan dapat membangunkan lagi industri aeroangkasa negara.

Bagi menarik minat pelajar dalam bidang ini pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan. Salah satu yang menjadi acara tahunan negara adalah pameran Langkawi International Maritime Aerospace (LIMA). Pameran ini berusaha untuk membawa masuk pembuat kapal terbang dan helikopter dengan pengangkutan laut bagi mempamerkan hasil-hasil ciptaan mereka di rantau ini. Hasil-hasil pameran ini akan membuka minda penduduk tempatan terutama pelajar untuk menceburi dalam bidang yang dianggap berprestij di Malaysia. Kejuruteraan aeroangkasa ini memerlukan pakar-pakar terlatih dan berkemahiran untuk dibangunkan. Apa yang membanggakan kita pada masa ini ialah telah terdapat syarikat tempatan yang mula menghasilkan pesawat-pesawat ringan untuk kegunaan dalam negeri dan eksport.

Dalam masa terdekat ini kita akan melihat lebih banyak syarikat-syarikat yang akan membangunkan industri aeroangkasa ini. Ini ditambah lagi dengan kelahiran bakal-bakal siswazah dalam bidang aeroangkasa. Tenaga-tenaga inilah yang akan membangunkan dan seterusnya memajukan industri aeroangkasa negara. Bagi meningkatkan kecemerlangan kemahiran di kalangan belia, pelbagai usaha boleh dilakukan oleh pihak kerajaan. Salah satu cara yang dikenalpasti dapat meningkatkan kecemerlangan kemahiran belia ialah dengan menyedarkan kepada mereka tentang konsep pembelajaran sepanjang hayat (PSH).

Hassan Jantan (2005) menyatakan konsep pembelajaran sepanjang hayat merujuk kepada proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program meningkat pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional atau secara tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja.

Di dalam organisasi, konsep ini merujuk kepada proses di mana pekerja mendapatkan pengetahuan dan kemahiran melalui pengalaman di tempat kerja. Raymond A. Noe (2002) menyatakan pembelajaran sepanjang hayat memerlukan pekerja memahami keseluruhan sistem kerja termasuk perhubungan antara kerja mereka, unit kerja dan organisasi tempat kerja.

Pekerja diharapkan memperoleh kemahiran baru, menggunakannya dalam kerja dan berkongsi maklumat dengan pekerja lain. Pengalaman yang bersifat pengetahuan seperti ini tidak dapat dipelajari secara bentuk biasa dan secara formal serta latihan. Ianya memerlukan pusingan yang berterusan, dissemination dan memahami erti perkongsian ilmu. Ringkasnya, proses pembelajaran sepanjang hayat meliputi proses pembelajaran seseorang secara berterusan sama ada bagi tujuan meningkatkan kemahiran atau membangunkan kerjaya dalam sesuatu bidang pekerjaan pada masa akan sekarang dan akan datang. Proses pembelajaran sepanjang hayat juga adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang tidak akan berakhir apabila seseorang itu meninggalkan alam persekolahan.

Peningkatan kemahiran belia juga boleh didapati dengan kerjasama IPTA, universiti terbuka dan IPTS. Ini selaras dengan Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) 2001 – 2010 dan Dasar Wawasan Negara (DWN) bagi menghadapi cabaran globalisasi, liberalisasi ekonomi dan persekitaran berasaskan pengetahuan. Laporan Suruhanjaya Antarabangsa Mengenai Pendidikan Abad 21 bertajuk Learning : The Treasure Within mencerminkan bahawa pembelajaran berterusan menjadi kunci kepada pembangunan sumber manusia atau belia dalam profesion mereka. Kebanyakan belia mempunyai keinginan untuk memperbaiki diri serta kemahiran mereka.

Ini termasuklah bidang-bidang yang telah diberi perhatian oleh pihak kerajaan seperti bidang bioteknologi, asas tani, aeroangkasa dan sebagainya. Jadi jelas menunjukkan pembelajaran secara berterusan di tempat kerja menjadi satu perkara penting dalam pembangunan kemahiran pekerja atau belia. Ianya hendaklah menjadi budaya atau cara hidup dalam sesebuah organisasi. Jika proses pembelajaran ini wujud, setiap kakitangan terutama belia dan beliawanis yang berada di bawah satu bumbung organisasi akan berusaha untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kecemerlangan organisasi tempat kerja. Pembinaan institut dan pusat latihan belia juga dikenalpasti dapat meningkatkan kemahiran di kalangan belia.

Institut Latihan Pertanian, Perindustrian dan MARA didapati telah banyak melahirkan ramai belia yang mahir dan separa mahir dalam bidang-bidang industri penting seperti kejuruteraan, automatif, pembinaan dan sebagainya. Institut dan pusat latihan seperti ini perlu diperbanyakkan lagi bagi memberi lebih banyak peluang kepada belia negara. Belia Malaysia juga harus didedahkan dengan kemahiran berbentuk soft skills atau kemahiran yang melengkapkan kemahiran asas (Datuk Seri Dr. Mohammad Khir Toyo, 2005). Ini boleh diperoleh dengan pembabitan belia dalam persatuan belia. Mereka akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran seperti pengurusan organisasi, kewangan, komunikasi, hubungan perseorangan, pengurusan konflik dan sebagainya.

Kecemerlangan belia Malaysia juga telah dicipta melalui individu-individu tertentu. Dengan kemahiran dan pengetahuan yang ada pada mereka telah menjulang nama Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa. Contohnya, Datin Paduka Sharifah Mazlina seorang pensyarah pendidikan jasmani di sebuah universiti tempatan telah berjaya menjadi wanita pertama menjelajah Antartika secara solo selama 22 hari. Beliau juga telah memecah rekod dunia yang dibuat oleh rakyat United Kingdom iaitu selama 24 hari dan dianugerahkan Towering Personality pada sambutan Hari UMNO yang julung kali diadakan pada 11 Mei 2005.

Begitu juga dengan Datuk Malek Redwan yang telah berjaya berenang secara solo merentasi selat inggeris dan Mohd Muqharabbin yang telah berjaya menawan puncak Everest. Dalam bidang intelektual pula, saudari Nur Amelina telah berjaya mencipta sejarah negara apabila mencatat keputusan 17A1 dalam peperiksaan SPM 2004. Ini semua diperoleh dengan adanya kemahiran dan kebolehan tersendiri dalam bidang yang diceburi.

Kebanyakan kemahiran yang disebutkan perlu dimiliki pelajar selepas habis belajar nanti. Dalam buku ini lebih menekankan kepada kemahiran yang perlu semasa belajar. Penekanan diberi kepada aspek kemahiran belajar, mengurus masa dan kesihatan, kemahiran membuat nota, membaca, menyelidik, komunikasi dan sebagainya. Untuk mendapat kemahiran tersebut pelajar perlu mempraktik dalam kehidupan harian mereka. Kadang kala kita merasakan cara belajar kita adalah betul. Tanpa bimbingan dan panduan daripada orang berpengalaman usaha akan menjadi sia-sia sahaja. Oleh itu pelajar perlu mempelajari teknik dan cara betul untuk mendapatkan semua kemahiran tersebut.

Kesimpulannya, kemahiran pelajar perlu ditingkatkan untuk mewujudkan kecemerlangan pada diri pelajar itu sendiri dan pembangunan negara khasnya. Kemahiran kecemerlangan pelajar diharap akan menjadi asas kejayaan pelajar. Ini sejajar dengan ucapan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis makan malam Kelab Harvard Malaysia yang menyatakan rakyat Malaysia harus berubah daripada sindrom tahu siapa kepada tahu bagaimana (know how) untuk menuju ke arah negara maju, berdaya saing, makmur, cemerlang, gemilang dan terbilang. Umpama kata pepatah Melayu, “Sekilas ikan dilaut, tahu akan jantan betinanya.”