Saturday, February 27, 2010

Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris

RINGKASAN PENULISAN TESIS


PELAKSANAAN DASAR MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA DAN MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS (MBMMBI) DI SEBUAH SEKOLAH MENENGAH SELANGOR



1.1 PENDAHULUAN

Pemansuhan PPSMI tidak bermakna kerajaan mengabaikan kepentingan bahasa Inggeris. Sebaliknya, penguasaan bahasa Inggeris pelajar akan dipertingkatkan dengan beberapa langkah menambahbaik pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan adalah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Kenyataan ini telah disebutkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika membuat pengumuman mengenai strategi “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI)”.

Ini termasuklah menambah bilangan guru bahasa Inggeris, menambah waktu belajar bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan, memperkenalkan program sastera kontemporari kanak-kanak untuk mengukuhkan asas penguasaan bahasa Inggeris di peringkat umur yang awal, memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, menekankan komponen tatabahasa dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dan mendedahkan pelajar dengan istilah-istilah sains dan teknologi dalam mata pelajaran bahasa Inggeris.

Pihak Kementerian juga telah bersetuju untuk mewujudkan lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Inggeris khusus untuk melatih guru-guru bahasa Inggeris. Kementerian juga secara dasarnya telah bersetuju untuk menempatkan guru-guru bahasa Inggeris terbaik dan guru-guru yang akan diambil dari luar negara di kawasan luar bandar bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar luar bandar. Insentif khusus akan diberikan kepada guru-guru bahasa Inggeris yang bersedia untuk berkhidmat di luar bandar. Jawatan pembantu guru bahasa Inggeris juga akan diwujudkan bagi kelas besar, seperti kelas yang melebihi 35 orang murid, untuk meningkatkan “contact-time” antara guru dan murid.

Dengan mewujudkan jawatan guru pembantu bahasa Inggeris ini, tumpuan yang lebih boleh diberikan kepada pelajar-pelajar yang lemah penguasaan bahasa Inggeris. Mereka ini boleh dibimbing secara lebih dekat untuk membolehkan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik.

Dengan melakukan penambahbaikan secara menyeluruh dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, disertai dengan komitmen para guru untuk menggunakan kaedah terbaik dalam usaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, Kerajaan menaruh keyakinan bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita akan meningkat.

Untuk mencapai matlamat ini, warga pendidik perlu melakukan lonjakan berganda untuk menterjemahkan dasar dan strategi pengukuhan penguasaan bahasa Inggeris dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan. Kita sesungguhnya tidak mempunyai banyak masa untuk mencapai matlamat penting ini. Keupayaan negara untuk melahirkan modal insan yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan kompeten terletak di bahu warga pendidik.

Pemantapan penguasaan bahasa Inggeris perlu bergerak seiring dengan pengukuhan penguasaan bahasa Malaysia. Untuk tujuan ini, Kementerian Pelajaran akan memberi fokus kepada penguasaan kemahiran asas Bahasa Malaysia di kalangan pelajar melalui pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. Penekanan juga akan diberikan kepada penghayatan dan apresiasi kesusasteraan Melayu bagi pelajar di peringkat sekolah menengah.

Keputusan mengembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan juga merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk memperkukuh dan memartabatkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dalam sistem pendidikan negara. Dengan pelaksanaan keputusan ini komponen Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di Tahap 1 sekolah kebangsaan meningkat daripada 60 peratus kepada 75.6 peratus, manakala di Tahap 2 meningkat daripada 60 peratus kepada 80 peratus. Peningkatan yang sama juga berlaku di peringkat sekolah menengah.

Melihat ke hadapan, dasar “Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris” yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan bermula pada tahun 2012 adalah satu dasar baru yang merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan di negara kita. Kementerian Pelajaran pada ketika ini sedang melakukan persiapan untuk melaksanakan dasar ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan pencapaian pelajar-pelajar yang akan terlibat dalam proses transisi pada tahun 2012 nanti. Satu pendekatan soft-landing akan diambil untuk memastikan pencapaian pelajar-pelajar yang sedang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di bawah dasar PPSMI tidak akan terjejas.

Pihak Kementerian juga telah membentuk enam Jawatankuasa Kecil sebagai persiapan untuk melaksanakan dasar baru ini. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk memperincikan aspek latihan guru, kurikulum, penyediaan buku teks, lojistik, personel dan penerangan. InsyaAllah, berkat kefahaman, sokongan dan usaha berterusan seluruh warga pendidik dalam menjayakan dasar baru ini, kita akan dapat mencapai matlamat menambahbaik kualiti pendidikan di negara kita secara berterusan demi kepentingan masa depan negara.
1.2 PERNYATAAN MASALAH

Tujuan penyelidikan ialah untuk mengenal pasti dan mengetahui penerimaan pelajar terhadap dasar “Memartabatkan bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan bahasa Inggeris”. Di samping itu penyelidikan juga dijalankan mengetahui dan mengenal pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam pelaksanaan dasar baru ini.

Penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris amat penting dalam dunia hari ini dan merupakan satu keperluan jangka panjang bagi pendidikan negara. Dunia sekarang menuntut guru-guru untuk lebih kompetitif dalam semua bidang terutama Sains dan Teknologi. Maka, bahasa Inggeris telah menjadi satu elemen penting untuk mendapat segala maklumat berhubung Sains dan teknologi dalam dunia tanpa sempadan atau globalisasi.

Persoalannya, adakah guru-guru kita telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk melaksanakan tanggungjawab pengajaran bahasa Inggeris dengan berkesan. Di samping itu, pelajar yang di anggap sebagai pelanggan utama dalam pelaksanaan dasar ini tidak terlepas dari perubahan pendidikan yang telah dibuat.

Oleh itu, kajian ini adalah untuk melihat dan meninjau penerimaan pelajar terhadap penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran.


1.3 TUJUAN DAN OBJEKTIF KAJIAN

Oleh itu, objektif dan tujuan utama kajian ialah,

1. Meninjau penerimaan pelajar terhadap pelaksanaan dasar baru ini.

2. Meninjau masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar terhadap pelaksanaan dasar

1.4 SOALAN PENYELIDIKAN

1. Sejauh manakah penerimaan pelajar terhadap pelaksanaan dasar “Memartabatkan bahasa Melayu dan Memperkukuhkan bahasa Inggeris”.

2. Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam melaksanakan dasar baru ini

3. Sejauh manakah faktor prasarana mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran pelajar dalam pelaksanaan dasar

4. Sejauh manakah faktor motivasi dan sokongan ibu bapa pelajar mempengaruhi dalam pelaksanaan dasar

5. Sejauh manakah faktor kaedah pengajaran guru mempengaruhi kemahiran bahasa pelajar

6. Sejauh manakah faktor kelemahan menguasai bahasa Inggeris mempengaruhi perasaan puas hati pelajar terhadap pelaksanaan dasar

7. Apakah kesan ke atas pelajar dalam melaksanakan dasar tersebut


1.5 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini amat berguna kerana:

1. Boleh digunakan untuk mendapat maklum balas pelajar terhadap pelaksanaan dasar baru ini

2. Sebagai garis panduan dalam menambahbaik dasar pada masa akan datang

3. Mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar dalam pelaksanaan dasar

4. Panduan kepada pihak pelaksana dasar tentang keberkesanan dasar yang baru diperkenalkan

1.6 PEMBATASAN KAJIAN

Batasan atau halangan yang dihadapi dalam penyelidikan ini ialah:

1. Tempoh masa - masalah masa yang terhad dan pendek menyebabkan penyelidik mengecilkan skop kajian

2. Kos - kajian sampel yang besar melibatkan kos yang tinggi. Dengan pengecilan sampel, penyelidik dapat menjimatkan kos operasinya

3. Capaian maklumat - kajian ilmiah tentang pelaksanaan dasar MBMMBI masih belum banyak dilakukan. Sumber-sumber yang sedikit menghadkan kajian yang dibuat.

1.7 METODOLOGI KAJIAN

Penyelidikan berasaskan soal selidik yang diperoleh daripada pelajar di sekolah menengah Selangor. Seramai 250 orang pelajar akan di soal selidik berdasarkan soalan standard yang akan diberikan. Responden terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan, agama dan keturunan.




1.8 SAMPEL KAJIAN

Sampel kajian melibatkan pelajar di sebuah sekolah Menengah Selangor . Jumlah pelajar yang terlibat ialahi 250 orang.

1.9 BAHAN

Bagi mengetahui dan menganalisa data, satu set borang soal selidik akan diedarkan kepada setiap responden yang terlibat. Data-data yang telah diperoleh telah dimasukkan dan di analisa melalui progam SPSS.

Data-data diperolehi daripada data primer dan sekunder. Setiap data mempunyai fungsi tersendiri dalam penyediaan dan menganalisa data.

Data Primer

Data primer diperoleh daripada soalan soal selidik. Borang soal selidik akan diedarkan kepada pelajar. Mereka dikehendaki menjawab semua soalan yang berkaitan pelaksanaan dasar. Borang soal selidik itu meliputi bahagian pelajar sahaja. Perkara-perkara yang ditanya dalam bahagian ini adalah berkaitan dengan perasaan puas hati pelajar terhadap pengajaran guru dan sebagainya. Di antaranya ialah berkenaan dengan peruntukkan masa belajar mata pelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia, minat terhadap penggunaan komputer dalam pengajaran, minat terhadap pelajaran dan sebagainya.

Data Sekunder

Data sekunder diperoleh dari pelbagai buku-buku ilmiah dan keratan akhbar. Buku-buku akan digunakan untuk mengetahui dan merujuk perkara-perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan dasar. Pelbagai teori akan di ambilkira dalam membuat dan menentukan pembolehubah-pembolehubah dalam kajian yang dijalankan.

2.0 PENUTUP

Penggunaan bahasa Inggeris telah digunakan sebagai bahasa utama dalam sebarang persidangan, perbincangan, agreement dan kenyataan. Malaysia telah hilang satu generasi yang fasih dan mahir menggunakan bahasa Inggeris dan kini mempunyai pegawai dan diplomat yang kegunaan mereka agak terhad dibanding dengan generasi terdahulu.

Wakil-wakil kita terpinggir kerana tidak petah dan pintar dalam bahasa diplomasi dan komunikasi ini. Mereka tidak lagi menjadi pilihan pertama untuk menyediakan draf kenyataan-kenyataan dan dokumen-dokumen terpenting seperti zaman 50-an, 60-an dan pertengahan 70-an.

Pakar bahasa menyatakan bahasa lazimnya memasyurkan bangsanya kerana bahasa adalah semangat bangsa dan watan. Jika bahasa dirojak dan dikacukkan maka hilanglah keindahannya. Bahasa kiasan, pantun, seloka, dikir dan gurindam jarang digunakan. Ianya amat terhad dan jarang-jarang digunakan dalam majlis perkahwinan sahaja.

Walaupun terpaksa berubah, jangan sesekali dan keterlaluan mencemari bahawa ibunda; meminggir dan mengenepinya. Bahasa ibunda mesti dimuliakan, segar dan terus dikembangkan. Sikap menguasai bahasa lain amat dialu-alukan dan menguasai dwibahasa atau tiga bahasa akan memberi banyak manfaatnya.

Peranan bahasa adalah sebagai alat terpenting dalam menguasai ilmu-ilmu lain di dunia. Contoh, di Indonesia dan Thailand, akhbar yang berpengaruh dalam bahasa Inggeris iaitu Jakarta Post dan Bangkok Post. Di Thailand, walaupun tidak pernah dijajah oleh kuasa barat, bahasa Inggeris telah dijadikan sebagai bahasa kedua terpenting.

Kalau melihat kepada senario hari ini, akhbar bahasa Inggeris adalah lebih banyak berbanding bahasa Melayu. Contohnya, akhbar bahasa Inggeris ialah New Straits Times, New Sunday Times, Malay Mail, Sunday Mail, The Star, The Sun, Sarawak Tribune, Sabah Times. Akhbar Bahasa Melayu pula ada tujuh iaitu Berita Harian, Berita Minggu, Harian Metro, Metro Ahad, Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Utusan Melayu dan Utusan Zaman -Berita Minggu 14 Julai 2002.

Oleh itu satu dasar perlu dibentuk bagi mengatasi masalah yang timbul. Pelaksanaan dasar MBMMBI difikirkan dapat membantu mengurangkan permasalahan tersebut. Kita berharap pelajar tidak akan terus terpinggir dalam arus pembangunan global. Diharapkan mereka fasih dan petah dalam kedua-dua bahasa supaya tidak terus tertinggal dalam dunia teknologi terkini.